IKLAN KOMERSIAL

Selasa, 8 Mac 2011

TANIAH AHLI PARLIMEN MUSLIMAT PAS MEMPERJUANGKAN DAN MEMBELA KAUM WANITA

MP muslimat PAS tekad bela wanita
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Ahli Parlimen muslimat PAS bertekad mahu membela nasib kaum wanita yang tertindas kerana mereka merupakan aset penting negara.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, gologan wanita yang berkualiti sangat diperlukan untuk membentuk keluarga, masyarakat dan negara.

"Kita kena lihat ramai lagi wanita yang ditindas. Jadi kita kena bela nasib mereka kerana mereka aset penting kepada negara," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini sempena Hari Wanita Sedunia ke-100 hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat juga berkata, Islam sendiri meletakkan pengiktirafan yang tinggi kepada kaum wanita.

"Seperti kata pepatah, wanita adalah tiang negara. Kalau wanita rosak, rosaklah negara. Kalau lihat dari sudut agama, Islam meletakkan kedudukan yang tinggi kepada kaum wanita malah Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk memartabatkan wanita. Islam meletakkan pengiktirafan yang tinggi kepada wanita," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, golongan wanita harus menyedari peranan mereka dalam meberikan kesedaran politik kepada anak-anak dan keluarga.

"Wanita sudah lama memainkan peranan dalam politik. Kalau tengok revolusi Iran dulu didepani wanita.

"Wanita memainkan peranan dalam membentuk pemikiran politik anak-anak ,suami dan juga rakan sekerja," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya, golongan wanita tidak harus dipinggirkan dalam menentukan dasar negara dan hanya menjadi pemerhati politik sahaja.

"Kita tidak mahu lagi wanita terpinggir dari segi politik, hanya menjadi pemerhati dan penerima sahaja tetapi wanita juga penentu hala tuju politik negara kerana wanitalah yang menanamkan nilai-nilai keluhuran dan kesamatarataan kepada anak-anak.

"Guru-guru yang sebahagian besarnya wanita juga memainkan peranan penting untuk menanamkan bahawa politik ialah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh semua orang, bukan hanya lelaki sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali pula mahu kaum wanita sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersedia untuk menambah ilmu pengetahuan mereka dalam semua bidang.

"Saya harap kaum wanita bersikap positif, berani dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan ilmu supaya lebih maju dalam pemikiran untuk memajukan negara," katanya yang juga ahli jawatankuasa Muslimat PAS Pusat.

Terdahulu mereka memberikan liitan bunga melur kepada pemberita-pemberita wanita sebagai simbol kebangkitan wanita.

Sabtu, 5 Mac 2011

BESOK DAH TAKDE SIAPA DAH NAK TENGOK TV DAN NEWSPAPER SEMUA MEMBOHONG DAN MENGAMPU JE

Umno dan medianya menipu - pembeli tanah

Zulkifli Sulong

TEMERLOH, 5 Mac: Para pemimpin dan media Umno terbukti berbohong ketika mereka memfitnah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membeli tanah peneroka Felda kerana ianya sebenarnya dibeli oleh pihak lain.

Ia sebenarnya dibeli oleh Ibrahim bin Osman, seorang guru yang hanya meminjam duit dari Tuan Ibrahim dan kini tanah itu dicagarkan oleh Ibrahim kepada MARA untuk satu pinjaman lain.

"Sebenarnya apa yang berlaku adalah, seorang peneroka Felda telah mengiklan di merata-rata tempat mahu menjual tanahnya. Beliau juga telah menemui saya dan meminta saya membelinya.

"Memandangkan saya tidak ada duit, saya telah bertanya kepada Datuk Tuan Ibrahim untuk membantu saya. Dia bersetuju meminjamkan dahulu duit kepada saya dan sebagai jaminan terhadap pinjaman tersebut saya bersetuju menggunakan nama isteri beliau sementara saya
menjelaskan kesemua pinjaman itu.

"Apabila saya mempunyai duit, saya telah mengambilalih tanah itu dan menggunakannya untuk dicagarkannya kepada pihak MARA atas nama syarikat saya, Syarikat Pintar Kesuma Sdn Bhd (gambar)," kata Ibrahim dalam sidang media khas di Markas PAS Kerdau lewat petang ini.

Ibrahim menjelaskan fitnah yang dibuat Umno dan medianya terhadap Pengarah Pilihan Raya PAS Kerdau Datuk Tuan Ibrahim dengan mendakwa beliau membeli tanah peneroka Felda yang dalam kesempitan bukannya membantu beliau.

(Gambar: Bukti yang menunjukkan tanah itu adalah milik syarikat Cikgu Ibrahim, Pintar Kesuma sdn bhd. Ini adalah borang permohonan cagaran tanah kepada MARA)

Blog Umno juga ada mendakwa Tuan Ibrahim sebagai lintah darat ekoran laporan itu.

"Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.

"Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi dhaif sebagaimana didakwa," kata Ibrahim Osman.

Oleh itu, katanya, soal Datuk Tuan Ibrahim membeli tanah Felda sehingga menganiaya peneroka Felda tidak berbangkit sama sekali dan satu dakwaan dan tuduhan yang tidak benar.

Tuan Ibrahim dalam sidang media itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu ini dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim sahaja.

"Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini," kata Tuan Ibrahim.

Khamis, 3 Mac 2011

DAH ABIS MODAL KE ???

Kempen BN di Merlimau bertentangan slogan 1Malaysia

JASIN, 3 Mac: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau sangat kotor dan bertentangan dengan slogan 1Malaysia yang dilaungkan BN.

Beliau yang kesal dengan beberapa perbuatan khianat termasuk penyebaran risalah fitnah dipercayai dilakukan Umno BN berkata, Umno BN harus bertanggungjawab dalam perkara ini.

"Kempen ini mahu menonjolkan 1Malaysia yang sepatutnya menunjukkan perpaduan dan satu kempen yang bersih.

"Tapi sangat sedih apabila melihat kempen yang sangat kotor. Ada fitnah, dusta, risalah-risalah dan gambar lucah, tuduhan-tuduhan tidak berasas dan siapa yang bertanggungjawab?

"Tentulah Barisan Nasional. Tak boleh lari daripada itu," kata beliau pada sidang media di bilik gerakan DAP, pekan Merlimau dekat sini, petang ini.

Hadir sama ialah calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Merlimau, Yuhaizad Abdullah.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga berkata, Umno harus memberi peluang kepada pengundi-pengundi untuk memilih calon daripada mana-mana parti tanpa menggunakan wang sebagai umpan.

"Siapa menang siapa kalah terpulang kepada pengundi-pengundi.

"Berkempenlah secara bersih dan hormati keputusan rakyat. Tak perlu ada insiden-insiden seperti pecah kereta, pentas DAP cuba dibakar.

"Ini semua tidak patut berlaku dan semua bertentangan dengan slogan 1Malaysia.

"Politik wang sangat jelas dan ini bukan satu pertandingan yang sihat dan sangat dikesali," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi Pakatan Rakyat untuk menang pada PRK ini, beliau berkata, kalah atau menang bukan keutamaan tapi perkara yang lebih penting adalah melihat perubahan yang dilakukan pengundi-pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kita tahu tempat ini memang sukar untuk menang, mungkin tak boleh menang tapi apa yang mustahak dapat sambutan pengundi-pengundi di kawasan ini yang menunjukkan sokongan lebih kuat kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Ujarnya juga, selepas pilihan raya umum 2008, semakin ramai rakyat yang mahukan politik baru.

"Sejak tsunami politik tiga tahun dahulu kita lihat ada perubahan bukan sahaja di negeri Melaka tapi di Malaysia dan apa yang berlaku di Mesir,Tunisia dan Timur Tengah, kita lihat perkembangan politik baru dan rakyat mahu menuntut perubahan termasuk di Malaysia," katanya.

RASUAH TU HARAM TAK FAHAM KE !!!

Pesta rasuah di Kerdau dan Merlimau

Wan Nik Wan Yussof Salah guna kuasa/sogokan/rasuah/pancing/beli undi dan penyelewengan pihak BN mengiringi sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau. Kes-kes berikut telah dicatatkan berlaku menjelang penamaan calon sehingga kempen 2 Mac 2011:

1. Pada Seminar Kecemerlangan Institusi Keluarga di Sekolah Kebangsaan Chenderah di Kampung Chenderah di Merlimau, Rabu (2 Mac) - Mohd Ali, Ketua Menteri Melaka menyogok 70 basikal kepada murid sekolah SK Chenderah (MstarOnline 3 Mac) dengan taktik memancing undi ibu bapa pelajar terbabit.

2. Muhyiddin dalam lawatannya ke DUN Merlimau (1 Mac), memancing undi dengan menjanjikan peruntukan geran pembinaan sekolah agama rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berjumlah RM1.5 juta (Utusan online 3 Mac).

3. Pihak Felda turut membantu BN di PRK Kerdau membeli undi melalui pengumuman bayaran ses di bawah Skim Insentif Tanam Semula yang diberi kepada 433 peneroka dengan bayaran wang insentif RM1,000 sehektar atau bersamaan RM4,000 seorang yang kesemuanya bernilai RM1.8 juta. Majlis membeli undi itu dijadualkan pada Jumaat ini (4 Mac), dua hari menjelang pengundian (Umno online 2 Mac; Utusan online 3 Mac).

4. Umpan untuk beli undi ibu bapa pelajar telah dilakukann oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan memberi sumbangan kepada seramai 34 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu termasuk 29 pelajar dari Sekolah Menengah Dang Anum. Majlis mengumpan itu diadakan di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Jamuan Rakyat DUN Merlimau (dlm. Sinar Haroiana online - http://www.sinarharian.com.my/merlimau/).

5. PAS menerusi Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki telah mengadu secara rasmi kepada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melibatkan penggunaan jentera kerajaan/premis awam pihak BN di Kerdau sebagai tindakan salah guna kuasa dan penggunaan melampau premis Sekolah Rendah Batu Sawar, Padang Awam Teluk Sentang dan Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23 serta Balai Raya Kuala Tekal. Di situ telah didirikan khemah dan menaikkan bendera parti serta aktriviti kempen.

6. Tan Sri Muhyiddin telah berjanji bersifat menyogok 300 seramai ibu bapa merupakan pengundi Dun Kerdau sedia meluluskan pembinaan blok tambahan untuk bengkel kemahiran hidup dan makmal bernilai RM5 juta di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau dan turut mempengaruhi pengundi sebagai pancing undi dengan sanggup dimasukkan cadangan dalam projek Rancangan Malaysia ke-10. Di samping turut berjanji untuk menyiapkan 18 sekolah di parlimen Kuala Krau yang akan diberikan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM1.9 juta (Malaysiakini 1 Mac).

7. Berlaku pengedaran kotak barangan kepada pengundi Cina di Kerdau dan dilihat menyogok dan merasuah pengundi apabila peenerima diarahkan memasang pelekat BN pada rumah masing-masing dan dibuktikan lagi (sogokan dari BN) kerana pada kotak itu ada gambar wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil. Setiap kotak mengandungi nasi, Milo, biskut, susu tepung dan sardin dalam tin (Malaysiakini 28 Februari).

8. Datuk Seri Najib Razak mengumumkan satu nilai sogokan untuk memancing undi berjumlah hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menjelang hari penamaan calon. Pengumuman itu dibuat di dua majlis perjumpaan berasingan di hadapan pengundi di Batu Sawar dan pengundi Cina, India dan Orang Asli di Kampung Baru Kerdau. Sogokan sebanyak RM10 juta itu dalam bentuk sogokan projek mengganti paip bernilai RM9.25 juta, gelanggang serbaguna masyarakat Cina RM400,000, membina kuil Hindu RM100,000, dan Balai Bomba sukarela RM150,000 (Malaysiakini 27 Februari).

9. Kehadiran Mohd Najib dan isterinya Rosmah menaiki helikopter berkempen sebelum penamaan calon di sekitar daerah mengundi Kerdau dan 'kawasan 3+1' – gugusan Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, Felda Jengka 25 dan Felcra Rumpun Makmur dilihat sebagai salah guna kuasa kerana menggunakan wang kerajaan. Helikopter itu tidak dibiayai oleh Umno Kerdau (Malaysiakini 28 Februari).

10. Masjid as-Sujjah Merlimau (premis awam) juga digunakan sebagai pentas menyampaikan kempen oleh pengkuliah antara waktu maghrib-isyak (pada Isnin, 2 Feb). Antara ucapan pengkuliah yang sempat dicatatkan ialah "Yahudi menguasai ekonomi di Amerika Syarikat kerana ia adalah negara mereka, dan di Malaysia, orang Melayu tidak menguasai ekonomi, tetapi sebaliknya mereka menguasai politik. Jadi, anda mesti menyokong parti yang melindungi dan mempertingkatkan martabat Melayu... Saya berharap rakyat akan membuat keputusan yang betul dalam pilihan raya supaya martabat kita dapat dipertahankan." Memahami konteks itu, jelas pengkuliah itu adalah berkempen untuk BN atas masjid (Malaysiakini 2 Mac).

11. Tan Sri Muhyidin mengumumkan akan membina sekolah agama rakyat di Taman Muhibah dekat Masjid as-Sujjah Merlimau berjumlah RM1.5 juta di majlis perjumpaan pegawai agama masjid yang dihadiri sama calon BN Roslan (Berita Harian 2 Mac). Pengumuman itu satu sogokan dan mempengaruhi pengundi dari kalangan pegawai masjid seluruh Dun Merlimau.

12. Satu majlis di SMK Dang Anum, Merlimau (premis awam) pada hari Isnin (28 Februari) Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengeluarkan kenyataan, berikutan pengumuman kenaikan gaji para guru oleh Tan Sri Muhyidin, lalu beliau meminta 311 orang guru di Merlimau dapat membalasnya dengan mengundi BN (Malaysiakini 2 Mac).

13. Agensi kerajaan Pusat, Biro Tata Negara Negara (BTN) turut menyertai kempen pilihan raya kecil Merlimau dengan mengadakan tiga ceramah setiap hari bermula Ahad (27 Mac) lalu. Misinya ialah memburuk-burukkan DAP yang kononnya ‘menentang Islam dan mengancam orang Melayu’ (Malaysiakini 1 Mac).

14. Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari telah membuat laporan SPRM berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbrian di bawah Mohd Ali Rustam melibatkan projek dan dana Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM13.85 juta. Penyelewengan didakwa berlaku dalam kes pembinaan kompleks MAIM dan penyerahan milik lot PT 83 kepada kontraktor dan penjualan lot 106 dan 106 oleh kontraktor terbabit kepada pihak ketiga serta kelewatan jadual pembinaan kompleks yang tidak diambil sebarang tindakan (Berita Harian 2 Mac). Atas kes ini ada isu amalan kronisme, subhat dan semacam melindungi penyelewengan oleh MAIM dan Mohd Ali selaku Ketua Menteri.

15. Mohd Ali Rustam juga diketahui umum oleh para kontraktor yang menyertai tender projek negeri Melaka, sebagai ketua menteri yang mengamalkan kronisme dan rasuah. Mana-mana kontraktor yang ingin mendapatkan projek dan kelulusan tender perlu mendapat surat akuan daripada runnernya dan perlu berjumpanya terlebih dulu, kemudian membuat beberapa komitmen untuk kepentingannya (Laporan menerusi SMS 3 Mac).

Perkara yang sama turut dilaporkan oleh seorang profesor dari salah sebuah universiti di USA yang membuat kajian berkaitan pembangunan negeri Melaka.

Berdasarkan pendekatan BN yang tidak bermoral, tiada integriti dan mencabar amalan demokrasi di PRK Merlimau-Kerdau, maka by hook or by crook BN akan menang!

Ini kerana, pihak pengundi sedia terperangkap dengan segala janji manis, takut dengan ugutan dan terpukau dengan sogokan berjuta-juta ringgit. Itulah pengundi BN.
Orang Asli dijamu arak di Galas

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Mac: Dewan Undangan Negeri Kelantan dimaklumkan bahawa, jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Galas telah mengurung orang Asli dalam kempen itu dan memberikan mereka minuman keras.

Ia dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan ngo negeri, Abdul Fatah Mahmood yang melahirkan rasa dukacita cara berkempen BN pada pilihanraya kecil Dun Galas itu.

Menurutnya, mengikut aduan masyarakat terbabit mereka dikurung oleh pemimpin Umno dalam tempoh pilihanraya kecil itu sambil disajikan dengan minuman keras dengan alasan untuk meraikan mereka.

(Gambar fail: Orang Asli dipakaikan baju khas sebelum dihantar untuk mengundi)

“Akibatnya selepas kejadian itu surau begitu lengang tanpa dihadiri oleh masyarakat Orang Asli yang beragama Islam untuk beribadat.

“Kita amat kecewa, tarbiah demi tarbiah telah diberikan oleh kerajaan negeri melalui agensinya serta pihak-pihak lain, namun telah dirosakkan oleh oleh pemimpin Umno untuk kepentingan politik mereka,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Sultan Kelantan sempena pembukaan persidangan Dun Kelantan yang ke-12.

Katanya, sepatutnya kenyataan ‘minum arak’ kerana marahkan kerajaan negeri tidak didengar dalam dun yang mulia ini.

“Satu kenyataan yang amat tidak wajar disebut oleh Adun yang beragama Islam, jadi tidak hairan kalau Adun Galas mengeluarkan kenyataan sedemikian,”ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau mendedahkan ada beberapa orang masyarakat Orang Asli memohon dipindahkan di tempat lain kerana tidak tahan dengan tekanan BN di situ.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mengambil perhatian berhubung perkara itu.

JANGAN TERUS KUTUK ORANG TENGOK DIRI SENDIRI DULU LAA

Siri 03: Kerdau bakal terus tersudut

Dr. Dzulkefli Ahmad Memasukki hari ke-6 berkempen, MB Pahang tentunya menyesal tak sudah-sudah mencabar PAS kononnya ketandusan modal untuk berkempen. Beliau kini semacam terpaksa dikenakan ’rawatannya sendiri’ atau bak pepatah Inggeris “a taste of his own medicine”. Dalam bahasa pasarnya, padan muka dia.

Setelah 53 tahun merdeka, bandar ’cowboy’ Kerdau dalam kawasan Kuala Krau, baru disedari wujud dalam Persekutuan Malaysia ini. Pimpinan Umno/BN sewajarnya malu dan kesal betapa sebuah DUN yang bernama Kerdau bahkan seluruh Kawasan Parlimen Kuala Krau tersudut dan terpinggir dalam arus pembangunan negara. jauh dari kerancakan perkilangan yang menjana pekerjaan dan pendapatan buat pihak berkuasa tempatan. Kini Kerdau diancam nasib yang sama untuk beberapa dekad lagi.

Pelik tetapi benar, bagaimana segala pendedahan pengurusan bobrok Adnan Yaakob, masih boleh dia nafikan mentah-mentah, meskipun yang mengkritik dan mendedahkan kepincangan pengurusan beliau bukanlah akhbar Harakah, Rocket atau Suara Keadilan.

Yang mendedahkan kebobrokan dan kebejatan pengurusan tempang beliau adalah Laporan Ketua Audit Negara di bawah kepimpinan Tan Sri Amrin Buang. Setiap tahun telah beliau nyatakan bahawa bagaimana pun yang didedahkan, tetap akan berulang segala ketirisan dan kebocoran akibat pelbagai pengkhianatan wang rakyat dalam ’sistem ’penghantaran’ pemerintahan negara ini.

Meskipun ia adalah kesalahan golongan birokrat, ramai yang berdaleh begitu, tetapi kesemua kementerian adalah dipimpin oleh pimpinan orang politik. Tidakkah bagai dek kata pepatah Cina, ”Ikan busuk dari kepalanya?”.

Adnan tidak segan-segan menyatakan negeri Pahang tidak akan bankrap kerana Pahang boleh pinjam dari kerajaan Pusat. Dengan sikap dan mentaliti itulah MB Pahang ini terus-terusan telah meningkatkan hutang dari tahun 2005- RM1.59 bilion, tahun 2006- RM1.72 bilion, tahun 2007- RM1.91 bilion, tahun 2008- RM2.07 bilion dan tahun 2009- RM2.17 bilion.

Meneliti Laporan Ketua Audit Negara akan menyelak pelbagai kebejatan pengurusan pentadbiran beliau sepertimana telah didedahkan oleh Siri 01 dan Siri 02 penulisan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri atas isu Pembalakan, hasil mahsul yang sepatutnya mengkayakan kerajaan negeri tetapi telah benar-benar menjadi ”Bala” , iaitu Spag’n Plantation Sdn. Bhd [ RM 209 juta ] dan Upayapada (M) Sdn Bhd [ RM 24 juta ] . Rakyat bakal menganggung serta membayar saman ini, bukan duit Adnan Yaakob!

Begitu juga disamping pembalakan, kebejatan akibat pencerobohan perlombongan, pencerobohan hutan dan sungai (pasir) mengakibatkan kerugian pendapatan dan kemusnahan alam sekitarnya. Bayangkan kalau ia berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat tentunya telah dimuat dimuka depan akhbar perdana BN.

Mungkin rakyat Pahang wajar tahu bahawa Adnan mudah-mudah menepis kritikan bahawa MB Pahang pada tahun 2007 membeli beli plat kereta CCC 9 dengan harga RM48,000. Mungkin ada yangmenyanggah apa sangat kalau dibanding dengan harga sebuah bilik hotel 7 bintang semalam isteri PM yang mencecah lebih RM100,000.

Semua itu telah menjadi mangli kepada segelintir pemimpin tertinggi negara ini, justeru kerana rakyat tidak peduli kerana terus menyokong beliau. Begitu juga apabila Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa sebuah ’Armchair Nyatoh Timber Leg’ yang hanya berharga RM990 di pasaran, dibeli dengan harga kontrak RM3,530. Begitu juga perolehan sebuah ’spiral pendant light’ yang berharga maksima di pasaran RM9,200 di beli dengan harga RM38,700.

Kesemua kebejatan yang ditakrifkan sebagai ’tidak memuaskan’ oleh Laporan Audit ini telah menjadi ’mangli dan ’biasa-biasa’ sahaja bagi seorang MB yang tahu bahawa beliau akan di’bail-out’ oleh Kerajaan Pusat akhirnya. Ke begitu?

Malang segala-segala ini akan berulang sehinggalah rakyat akan bangkit untuk menyatakan ”Cukupdah Kebejatan Ini”, sementara golongan muda yang lebih cerdik akan melaungkan ”Enuf is Enuf” seperti mana rakyat di negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat lakukan dalam PRU ke-12 lalu.

Sehingga itu berlaku, Presiden Umno dan Menteri Besar Pahang tahu dan ’yakin’ bahawa rakyat dan pengundi Melayu khususnya di Felda akan tetap setia dengan Umno. Justeru itu, mereka mesti digula-gulakan dan didodoikan sampai bila-bila. Mereka mesti kepong dari mendapat maklumat alternatif dari media baru kerana akan berlaku ’tsunami besar’ pada PRU ke-13 andainya ”pencerahan minda dan kemerdekaan jiwa” berlaku.

Andainya golongan peneroka memahami bahawa tidak boleh selama-lamanya menjadi ’Peneroka’, maka akan berlaku ’kebangkitan besar’. Mereka wajar digerakkan dan dikejutkan bahawa kini mereka mesti bergelar ”Pemilik dan Tuan”. Kerajaan perlu kikis dan ubah mindset ini. Sebab itu mereka sentiasa dimangsakan. Dah 50 tahun masih lagi meneroka! Tuan dan pemilik ini perlu disedarkan bagaimana Felda Plantation menjadi sebuah korporat besar sementara mereka masih terperangkap dengan kepompong regim pendapatan RM1,500.

Maklumat akan menerangkan kepada mereka baahwa ada kawan-kawan seangkatan dengan mereka sudah merdeka dan memenangi kes-kes di Mahkamah. Mereka baru sahaja diberitahu ANAK bahawa kewujudan Felda Plantation sebagai entiti korporat menyanggahi dan berlawanan dengan peruntukan Akta Penempatan Berkelomppok , 1960 (GSA).

Adnan hanya akan berada di ambang bahaya, apabila rakyat dan pengundi di Kerdau dan Pahang celek! Beliau tahu beliau akan menang sekali lagi. Tetapi sampai bila mahu begini?

Selagi itu Adnan masih boleh hidup dalam penafian dan terus berbohong!
----------------------------------
Dr Dzulkefly Ahmad adalah AJK PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

JANGAN BUAT BERITA PALSU BURUK PADAHNYA

Xavier saman Free Malaysia Today dan wartawannya

Harakahdaily

SHAH ALAM, 3 Mac: Dr. Xavier Jayakumar, Exco Kerajaan Negeri Selangor (Adun Seri Andalas) telah mengarahkan peguam beliau Derek J. Fernandez melalui Tetuan Fernandez & Selvarajah untuk menyaman portal laman web Free Malaysia Today dan wartawannya B. Nantha Kumar.

Ini berikutan tersiarnya sebuah artikel oleh portal laman web tersebut pada 22 Februari bulan lepas bertajuk “Xavier Pleads To Be Retained As Exco” yang antara lain mengatakan bahawa ahli Exco berkenaan telah merayu kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dikekalkan dalam barisan Exco Negeri Selangor.

Dalam kenyataan media pada 24 Februari 2011 yang lepas, Dr. Xavier menafikan sekeras-kerasnya laporan itu dan sebaliknya mengatakan bahawa laporan tersebut berniat jahat untuk memburuk-buruk imej beliau sebagai Exco Negeri Selangor

Hari ini syarikat guaman itu telah menghantar Notis Tuntutan (Notice of Demand) kepada kedua-dua defendan tersebut agar memohon maaf dan menarik balik artikel dan membayar sejumlah kos gantirugi yang berpatutan dalam tempuh 7 hari dari tarikh notis tersebut.

Notis yang sama akan juga dihantar kepada akhbar berbahasa tamil, Tamil Nesan yang turut menyiarkan laporan yang sama pada 23 Februari yang lepas.

Dalam tuntutannya, Xevier menuntut agar laman web berkenaan menarik balik laporan itu dalam masa tujuh hari, memohon maaf, jaminan tidak akan mengulangi laporan sebegini dan membayar kos dan kerosakan akibat dari laporan itu sebanyak RM100,000.

Jika surat tuntutan ini tidak dijawab dalam masa tujuh hari, tindakan saman akan dimulakan ke atas laman web itu.