oleh Nor Hafiz Bin Razali pada pada 08hb Mei 2011 pukul 6.51 pagi
Oleh itu, mari kita memuhasabah kembali kehidupan kita yang tidak punya upaya dalam menentukan sesuatu perancangan itu berjaya andai kata tidak mendapat keizinan dari pada Ilahi. Walaupun penilaian kehidupan tampak jelas dan kita percaya pada diri bahawa kesempurnaan dalam hidup tetapi realitinya tidak semua perkara yang dilakukan boleh menjadi sempurna. Ini kerana kesilapan pasti menjelma yang merupakan lumrah kehidupan. Ini juga jelas menyatakan kita tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kita lakukan dalam kehidupan dan yang utama kita perlu sentiasa melakukan perubahan dan berani untuk melakukan kesilapan.
Mengapa saya berkata begini kerana kita selaku umat Islam wajib menyakini kasih sayang Allah melalui kesilapan-kesilapan umat terdahulu, kita belajar sesuatu dan juga umat Islam di negara Islam yang lain yang jelas menyaksikan pelbagai tragedi atas kesilapan mereka. Ini membuktikan kesilapan-kesilapan dari orang lain kita perlu ambil iktibar dan teladan bagi dijadikan asas pertimbangan dalam merungkai perjalanan hidup dari pandangan dan perpesktif diri sendiri.
Setiap kesilapan yang kita lakukan jangan kita padamkan dari memori kita kerana setiap apa yang terjadi merupakan takdir yang telah ditentukan oleh Allah Yang Maha lebih Mengetahui setiap apa yang terjadi, Kesilapan-kesilapan ini daripada pandangan manusia merupakan sesuatu yang buruk tetapi di sisi Allah mempunyai maksud baik walaupun kadang kala pada lumrah ianya amat pahit untuk ditelan, seandainya kita dapat membaca hikmah kejadian ini akan mampu meringankan beban perasaan dan menjawab pelbagai tanda tanya dalam diri yang jelas tidak sesuai dengan kehendak kita.
Seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah menyebut, “ Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.” Tegasnya, menurut beliau apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatannya pahit.
Beliau juga menambah, “Bila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hiikmahnya. Jika tidak itu tandanya penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”
Maksudnya:
Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.
(Surah al- Mulk: 2)
Jelas di sini, setiap ujian atau kesilapan yang dilakukan merupakan suatu “Sunnatullah” (peraturan Allah) yang tidak ada sesiapa yang mampu menghindarinya. Hidup ini merupakan medan ujian. Melalui ujian kita mampu menyerlahkan diri kita di sisi Allah dan mengetahui adakah kita sabar dengan ujian yang diberi dan bagi orang yang beriman pula, ujian merupakan kayu ukur sama ada menyakini atau masih ragu-ragu oleh hati terhadap Tuhan-Nya
NOR HAFIZ BIN RAZALI
PRESIDEN
PERSATUAN PENGGERAK MAHASISWA (PPMU)
UNIVERSITI SELANGOR.