PKR Selangor akan mengambil langkah susulan terhadap kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin yang didakwanya 'sombong dan bongkak' tidak mahu berganjak daripada kesilapan tindakannya membekukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei mendakwa pimpinan Umno 'lebih gembira menghukum daripada cuba mengambil hati dan perasaan rakyat dalam memenangi undi'.

Sebaliknya, kata Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda, Khaled patut 'berasa malu' dengan timbalanya, yang jauh lebih matang dan terbuka.

Walaupun pembekuan pinjaman PTPTN itu telah ditarik balik, tetapi ia sudah terlambat," kata Shuhami dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jika menteri ini berfikiran panjang dan bernas, beliau boleh memahami bahawa adalah lebih mudah dan efektif untuk beliau bersifat ‘accommodative’ bukannya ‘confrontational’.

"Mahasiswa bukanlah barang mainan. Mereka miliki akal yang bijak setaraf dengan statusnya sebagai pelajar yang terpilih ke menara gading," kata Shuhaimi sambil menambah bahawa mereka juga mempunyai hati dan perasaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, setiap mahasiswa itu mempunyai ibu bapa, penjaga, keluarga dan sanak saudara yang pasti berkongsi kesedihan mereka.

"Mereka ini boleh mengundi, dan apabila dicernakan dengan akal yang waras, apakah mereka akan mengundi Umno yang menzalimi ahli keluarga mereka?

"Apakah Khaled dan Umno sebegitu dangkal sehingga sanggup memperjudikan undi mereka?" soalnya.

Sehubungan itu, katanya, Umno terutamanya di Selangor patut berasa risau akan 'pendek akal' menterinya itu.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim, akan terus mencari jalan dan kaedah untuk memperjuangkan pendidikan percuma di Selangor walaupun ia bukan tanggungjawap penuh kerajaan negeri," tambahnya.

SUMBER:  http://www.malaysiakini.com/news/200821