Dalam satu kenyataan hari ini, panel itu berkata ia telah bermeyuarat pada 10 Januari lalu dan memutuskan bahawa kenyataan Ramon pada 4 Januari mengenai penjelasan Abdul Gani itu, sebagai "pandangan peribadi beliau."
"Panel ini juga bersetuju bahawa siasatan oleh SPRM akan diteruskan bila perlu untuk memastikan kebenaran atau sebaliknya terhadap sebarang dakwaan yang dibuat terhadap peguam negara," kenyataan panel itu dipetik.
Selain Navaratnam, antara anggota panel yang hadir dalam mesyuarat pada 10 Januari itu termasuk Anis Yusal Yusoff, Datuk Azman Ujang, Datuk Ishak Tami Kechik, Dr Zainal Abidin Abdul Majid, Prof Emeritus Datuk Abdul Rahman Embong dan Tan Sri Robert Phang.
Abdul Gani dilanda kontroversi sejak beberapa minggu lalu berhubung dakwaan yang timbul di Internet, yang mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan Tajudin, yang sedang disiasat oleh SPRM.
Abdul Gani didakwa telah mengerjakan haji bersama rakan niaga Tajudin, Shahidan Shafie, menurut sebuah laman anti-BN Malaysia Today.
Selepas menerima tekanan, Abdul Gani menghadiri dialog dengan pegawai tertinggi SPRM dan juga anggota panel suruhanjaya itu pada 4 Januari.
Ekoran itu, satu laporan The Star pada hari berikutnya memetik Navaratnam sebagai berkata, panel itu puas hati dengan penjelasan Abdul Gani.
Kenyataan itu bagaimanapun dipertikaikan oleh dua lagi anggota panel berkenaan – Ishak dan Pang.
Tajudin yang mengetuai MAS dalam tempoh 1994 hingga 2001, didakwa telah menyebabkan syarikat penerbangan negara itu kerugian sehingga RM8 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
silalah komen