IKLAN KOMERSIAL

Selasa, 14 Jun 2011

Budaya dialog cara terbaik atasi isu sensitif: PM


  NAJIB   diiringi   Jamil Khir   dan   Abdul Taib   diperkenalkan kepada peserta tilawah    ketika hadir   merasmikan  Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan di Kuching, semalam.
NAJIB diiringi Jamil Khir dan Abdul Taib diperkenalkan kepada peserta tilawah ketika hadir merasmikan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan di Kuching, semalam.
KUCHING: Datuk Seri Najib Razak berkata, budaya berdialog adalah pendekatan terbaik dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama, sekali gus paling sesuai ke arah mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama di negara ini. 

Perdana Menteri berkata, dialog berkenaan bagaimana pun mestilah berasaskan keikhlasan dan kematangan bagi mencapai persefahaman serta keharmonian.
“Saya melihat dalam konteks hubungan antara agama, sekiranya dialog ini didukungi dan disantuni oleh golongan tokoh agama masing-masing, ia pasti melahirkan impak positif yang berganda kepada rakyat,” katanya berucap merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Dewan Majlis Islam Sarawak di sini, malam tadi.
Seramai 29 qari dan qariah dari seluruh negara menyertai tilawah kali ini dengan semua negeri menghantar qari dan qariah, kecuali Kelantan yang hanya menghantar qari. 

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Menyedari betapa harga sebuah keamanan terlalu tinggi nilainya, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memantau dan memelihara sensitiviti rakyat terhadap isu agama yang dicetuskan pihak tertentu, yang sengaja mencurahkan minyak ke dalam api. 

Namun, katanya, ada segelintir pihak yang suka melihat api di dalam sekam semakin marak, walaupun kelihatan elok pada zahirnya, tetapi bara yang membakar di dalamnya, boleh menjadi api yang semakin membesar serta memusnahkan segala harta benda, malah nyawa akan melayang. 
“Percayalah keharmonian dan keamanan ini mestilah dipertahankan dan dikekalkan dengan meraikan kepelbagaian dan kemajmukan sedia ada. 

“Inilah keunikan Malaysia. Janganlah disebabkan nyamuk seekor, kelambu dibakar. 
Janganlah disebabkan dua tiga isu temeh yang tidak sependapat, maka kita sanggup menggadai keamanan yang dikecapi pada hari ini,” katanya. 

Najib turut mengingatkan betapa pertelingkahan dan persengketaan hanya akan menatijahkan kelemahan, seperti peringatan Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud “...dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekap hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang sabar.” 

Beliau berkata, bersulamkan benang kedamaian, maka kerajaan memperkenalkan gagasan 1Malaysia bagi mempertahankan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat berpaksikan keutuhan perpaduan. 

“Jika diteliti dengan minda terbuka, Gagasan 1Malaysia adalah manifestasi 1Ummah yang dituntut Islam, seperti pembinaan Kota Madinah oleh Rasulullah SAW yang mengutamakan kesatuan rakyat dengan menghormati kepelbagaian agama dan bangsa yang wujud ketika itu,” katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

silalah komen