eh ISMAIL IBRAHIM
KESALAHFAHAMAN tentang sesuatu istilah yang dihubungkan dengan agama sering timbul kerana kekeliruan umat Islam sendiri dalam memahami agamanya itu secara menyeluruh. Kekurangan ilmu tentang konsep dan falsafah serta hukum-hakam agama sering membawa kepada kesalahfahaman tentang ajaran dan misi Islam itu sendiri sebagai “Ad-deen” atau “cara hidup yang lengkap dan menyeluruh”.
Lebih menyedihkan lagi, kesalahfahaman tentang agama ini juga sering membawa sesetengah umat Islam kepada amalan yang menyeleweng daripada ajaran agama yang sebenarnya, malah terdapat individu atau kumpulan orang yang mendakwa dirinya sebagai jaguh agama akan memonopoli segala fatwa dan pentafsiran tentang ajaran agama, lalu dipengaruhinya orang lain supaya beramal dengan fatwa atau ajarannya tentang agama, sedangkan fatwa atau tafsiran mereka itu mungkin tersasar dari ajaran agama yang sebenarnya.
Demikianlah juga dengan konsep ‘wasatiyyah’ yang kita bicarakan ini. Sekiranya istilah ini hendak diterjemahkan sebagai “pertengahan”, maka kita mungkin memahaminya sebagai sesuatu yang berada di tengah-tengah, sama ada tentang akidah, syariah, akhlak, amal ibadat, perilaku dalam hidup, budaya mahupun interaksi sesama manusia, hubungan dengan Allah s.w.t, Rasul-Rasul-Nya, dan seterusnya.
Jika tafsiran ini difahami secara sempit, maka umat Islam mungkin akan menganggap bahawa segala tindakan dan kerjanya hendaklah dilakukan secara pertengahan sahaja, iaitu tidak seharusnya dilakukan secara bersungguh-sungguh, malah ibadatnya pun mungkin dilakukan yang wajib sahaja sepanjang masa dan keadaan, tidak perlu dilakukan keseluruhannya. Usahanya untuk mendapatkan keuntungan dunia dan akhirat juga mungkin difikirkan seharusnya dilakukan sambil lewa sahaja tanpa bersemangat dan bercita-cita untuk dilakukan dengan serius dan bersungguh-sungguh.
Dalam konteks ini, iaitu mengikut pengertian yang disebutkan itu, maka kita akan mengatakan bahawa Islam itu pada keseluruhan nya adalah agama “pertengahan” atau agama yang meletakkan dasar “sederhana” di dalam segala ajarannya, sama ada dalam ibadat , muamalat, cara dan gaya hidup, budaya mahupun semua tindakan dan perilaku Muslim di dalam semua bidang kehidupannya dalam urusan dunia dan akhirat.
Oleh hal demikiann itu, saya rasa, pengertian secara umum ini tidak dapat sebenarnya mengemukakan kefahaman yang menyeluruh tentang ajaran Islam keseluruhannya dalam konteks takrifan Islam dan umatnya sebagai agama dan umat “pertengahan”.
Memang diakui bahawa ‘wasatiyyah’ adalah berasal daripada perkataan Arab wasat, iaitu “tengah” atau “pertengahan”. Malah terdapat satu pecahan kalimah wasat ini di dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan bahawa “sebaik-baik perkara itu ialah ‘pertengahan’nya” dan pengertian “pertengahan” ini disebutkan di dalam hadis tersebut dalam bahasa Arab sebagai ausat yang juga pecahan daripada kalimah wasat, yang bererti bahawa sebaik-baik sesuatu amalan, perkataan, pekerjaan dan sebagainya itu adalah yang berasaskan kepada konsep pertengahan.
Berdasarkan hadis ini juga, dan pengertian ayat al-Quran yang menyebut tentang orang Islam sebagai ummatan wasatan (surah al-Baqarah, ayat 143) ,maka konsep wasatan ini sering diterjemahkan sebagai “umat pertengahan”.
Kesalahfahaman tentang konsep “pertengahan, kesederhanaan”, malah “perseimbangan” yang juga merupakan konsep ‘wasatiyyah’ yang sering digunakan oleh umat Islam ketika memahami konsep ‘wasatiyyah’ ini, banyak mengakibatkan kekeliruan umat Islam sendiri dalam mencapai kemajuan di dalam segala bidang kehidupannya.
Jika kita mengamalkan dasar “kesederhanaan” sahaja dalam menuntut ilmu, mungkin kita hanya akan melakukannya sekadar biasa sahaja tanpa bercita-cita tinggi, maka dengan itu kita akan ketinggalan dari umat yang lain di dalam dunia ini, dan berdasarkan kefahaman inilah mungkin kita telah pun dapat menyaksikan kadar peratusan buta huruf dan kemunduran dalam bidang ilmu di kalangan umat Islam amat tinggi sekarang ini dibandingkan dengan umat dari negara-negara yang maju lainnya.
Kemunduran negara-negara Islam dalam pembangunan ekonominya, berkemungkinan besar kerana umat Islam tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam memajukan negara masing-masing di dalam pembangunan ekonominya.
Perangkaan yang dibuat oleh World Bank, 53 peratus daripada anggota Persidangan Negara Islam (OIC) adalah termasuk di dalam kategori negara-negara yang berpendapatan rendah, iaitu kira-kira separuh daripada negara-negara dunia yang berpendapatan rendah. Negara-negara OIC yang berpendapatan tinggi pula hanya terdiri daripada sembilan peratus sahaja daripada keseluruhan negara anggota OIC.
Bagaimanapun, hal ini tentulah tidak dapat dihubungkan dengan kesalahfahaman umat Islam dengan konsep ‘wasatiyyah’ ini sahaja, kerana tentulah terdapat faktor-faktor lain lagi yang menyebabkan kemunduran ini berlaku seperti faktor penjajahan, sumber alam yang tidak dapat diuruskan dengan baik, atau kerana kekurangan tenaga manusia, teknologi, dan sebagainya. Namun, pada keseluruhannya, hal ini semua berlaku ialah kerana kemunduran yang dialami oleh negara Islam di dalam segala urusan kehidupan mereka, dan kemunduran minda dalam pentadbiran negara dan individu sendiri, dan kita bimbang bahawa kefahaman tentang dasar ‘wasatiyyah’ ini juga telah menyumbang kepada kemunduran pemikiran dan pembentukan sikap yang lemah di kalangan umat Islam.
Oleh hal demikian itu, konsep ‘wasatiyyah’ tidaklah seharusnya ditafsirkan sebagai cara hidup yang membawa umat Islam ke belakang, ke arah kemunduran dan ketinggalan di dalam segala bidang kehidupan mereka, dunia dan akhirat, kerana dasar ‘wasatiyyah’ lebih menjurus kepada pembentukan umat Islam yang mempunyai sikap dan tindakan serta amalan yang tidak ekstrem atau condong kepada sikap radikal dan melampaui batas dalam semua keadaan dan bidang kehidupannya.
Oleh hal demikian itu, konsep “umat sederhana” atau “umat pertengahan” haruslah ditafsirkan sebagai umat yang tidak melampaui batasan akhlak dan nilai-nilai tamadun dalam memperjuangkan hak dan kewajipannya. Umat Islam tidak seharusnya dianggap sebagai umat pelampau, radikal, dan ekstremis dalam menuntut hak, melakukan amalan agama dan mempertahankan dirinya dari kezaliman dan penindasan.
Dalam salah satu siri CNN, Larry King Live, selepas peristiwa 11 September, seorang pendeta Yahudi memetik beberapa ayat al-Quran untuk menyokong hujahnya bahawa Islam adalah suatu agama yang keras, tidak toleran, dan tidak mesra dengan umat lain dengan mengambil contoh daripada ayat 51 surah al-Maidah di luar konteks. Ayat itu bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah menjadikan Yahudi dan Kristian sebagai teman rapat, kerana sesetengah dari mereka menjadi teman rapat kepada sesetengahnya yang lain, dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan pertunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”
Ayat ini sebenarnya merupakan amaran Allah kepada umat Islam tentang tindakan kaum-kaum tersebut yang mempunyai permusuhan terhadap agama Islam dan umatnya, iaitu mereka yang ternyata mempunyai niat yang jahat dan berusaha untuk menghancurkan umat Islam dan agamanya, seperti yang pernah berlaku terhadap Rasulullah s.a.w yang sebelumnya telah membuat perjanjian damai dengan mereka, tetapi kemudiannya mereka mengkhianati Rasulullah s.a.w, sehingga baginda terpaksa mengambil tindakan tegas kepada mereka.
Malah dalam konteks hari ini pun ternyata bahawa sesetengah golongan kaum tersebut masih menaruh permusuhan yang amat jahat terhadap agama dan umat Islam, dan terdapat pula sekutu-sekutu mereka yang berusaha mempertahankan gerakan jahat mereka, seperti yang berlaku di bumi Palestin, yang dilakukan oleh puak Zionis.
Dalam konteks ini, eloklah kita cuba memahami ajaran Islam kepada “umat pertengahan” ini, iaitu seperti yang terkandung dalam ajaran al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 190 yang bermaksud:
“Perangilah pada jalan Allah (kerana menegak dan mempertahankan agama Allah) mereka yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”
“Umat pertengahan” dalam konteks ini akan menerima semua kaum dan agama, selagi agama dan umat Islam tidak dicerobohi. Maksudnya, penerimaan pengikut agama lain, tetap merupakan etika umat Islam, tetapi sekiranya umat Islam dan agamanya dicerobohi, maka umat Islam haruslah bangun mempertahankan diri. Sebab itulah ayat ini menyebut bahawa peperangan tidak seharusnya dimulakan tanpa sebab, tetapi sekiranya mereka diperangi, maka mereka wajib mempertahankan dirinya tanpa melampaui batas-batas yang ditetapkan oleh agama.
Hal ini juga merupakan satu konsep yang seharusnya difahami dalam konteks lain yang sering juga terdapat beberapa pihak lain yang menyalahkan agama Islam dan umatnya, dan menggambarkan imej Islam dengan gambaran yang buruk.
Konsep “jihad” umpamanya telah disalahmengertikan juga sebagai peperangan sabil untuk membunuh orang kafir. Sedangkan seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas dan ayat-ayat lain lagi, bahawa berjihad adalah dilakukan ketika menentang kekerasan yang dilakukan ke atas umat Islam, dan gerakan yang dilakukan untuk menghapuskan Islam itu sendiri, malah tidak timbul sama sekali tuduhan yang mengatakan bahawa umat bukan Islam itu harus diperangi dan dibunuh.
Malahan “jihad” juga mempunyai konsep yang lebih luas, iaitu memerangi hawa nafsu buas manusia, memerangi kemiskinan dan kefakiran, memerangi kejahilan dan kemunduran, maka konsep jihad dalam pengertian ini adalah lebih merupakan konsep jihad yang lebih utama lagi, yang seharusnya dilancarkan oleh “umat pertengahan” ini.
Reaksi umat Islam sendiri terhadap konsep umatan wasatan ini sebenarnya yang sering merosakkan konsep ini dan menjatuhkan imej agama Islam sebagai agama sederhana, toleran, seimbang, dan pertengahan. Tekanan penjajah, yang menjajah negara dan minda umat Islam, terutamanya para pemimpin Islam yang sedang mencari-cari identiti dan jati dirinya, sering memerangkap umat Islam dalam gerakan melampau, radikal, dan ekstrem. Sejarah membuktikan bahawa tekanan cara hidup dan budaya Barat mendorong Ataturk menutup semua madrasah, menghapuskan tradisi berpakaian dan budaya Islam dengan cara hidup dan budaya Barat, malah menekan para ulama. Langkah ini diikuti oleh Muhammad Ali di Mesir, kemudiannya Presiden Gamal Abdul Nasser yang menekan para ulama dan gerakan keislaman.
Tekanan dan paksaan yang dilakukan ini sebenarnya lebih banyak menimbulkan akibat yang buruk terhadap gerakan keislaman, kerana tekanan ini akan segera menimbulkan gerakan yang lebih radikal dan melampau, terutamanya apabila gerakan itu mulai tumbuh dan lahir di merata-merata tempat sebagai gerakan “bawah tanah” dengan agenda kekerasan dan keganasan.
Dari sudut yang lain, kita juga haruslah faham bahawa umat pertengahan ialah umat yang terbuka kepada pandangan dan pentafsiran serta ijtihad yang terbuka tanpa mengambil jalan yang keras dan tertutup. Kelahiran para aktivis, ulama dan pejuang Islam tidak bererti melahirkan kumpulan-kumpulan tertentu sahaja yang memonopoli fatwa dan pentafsiran tentang beribadat, undang-undang, teori ekonomi, ilmu dan isu-isu sosial mengikut pentafsiran mereka semata-mata, sehingga menepi kan pihak yang mempunyai otoriti dan Kerajaan (Ulul-Amri), malah akan menuduh golongan Islam lainnya yang berbeza pandangan daripada mereka sebagai “kafir”, “murtad”, dan sebagainya.
“Umat seimbang” tidak mengizinkan kelahiran institusi-institusi Islam yang radikal dan melampau. Madrasah dan pondok serta institusi-institusi pengajian Islam bukanlah didirikan untuk melatih “para pejuang” atau “mujahidin” untuk melakukan gerakan ganas dan keras, atau bertindak “membunuh musuh” sama ada musuh yang terdiri dari orang Islam atau bukan Islam. Perkhemahan Islam bukan bererti perkhemahan untuk melatih para tentera dan gorila bagi memerangi sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai “golongan lain” dan “golongan yang bukan golongan kita” tanpa mengira latar belakang kaum dan agama “musuh” mereka itu.
“Umat pertengahan” bukan bererti umat yang fanatik dan taksub melulu terhadap kaum dan agama atau ideologi politik kepartian mereka. Mereka tahu membezakan di antara yang hak dengan yang batil, yang benar dengan yang salah, mengikut ajaran agama yang sah dan hakiki, tanpa meletakkan sentimen kaum atau politik di atas ajaran agama yang sebenarnya.
Ummatan wasatan ialah umat yang dinamik, kuat, dan maju dalam bentuk dan agenda perjuangan yang sejajar dengan agama dan ajarannya yang lengkap dan menyeluruh, bukan merupakan umat yang mengambil sesetengah bahagian sahaja dari ajaran agamanya.
Dalam hal ini, kita merasa sukacita apabila melihat tafsiran-tafsiran yang membina di dalam kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu, termasuk Pimpinan Al-Rahman yang memberikan huraian yang dinamik ketika mentafsirkan ayat yang saya sebutkan di atas, iaitu tentang ummatan wasatan.
Ayat 143 daripada surah al-Baqarah itu diberikan pengertian begini:
“Dan demikianlah ( sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus) Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”
Sumber tafsir ini terus menjelaskan tentang ummatan wasatan, iaitu “umat pilihan lagi adil, dan juga bermakna umat pertengahan, iaitu pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan di dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya, segala-segalanya berkeadaan di tengah-tengah, sama-sama dipandang, dipelajari, dan diusahakan meliputi soal-soal dunia dan akhirat. Setiap orang yang berdiri di tengah-tengah dengan mengambil tahu secara mendalam dan memandang berat kepada perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya, maka pertimbangannya serta pengetahuannya mengenai baik buruk perkara itu, adalah adil, benar dan sah. Dengan demikian layaklah ia memberi keterangan kepada orang-orang yang keadaannya tidak seperti dia.”
Oleh hal demikian itu, saya rasa konsep wasatan ini haruslah difahami secara menyeluruh, merangkumi kesederhanaan, perseimbangan, pertengahan, keterbukaan dan sebagainya, dalam konteksnya yang tertentu.
Umat Islam sebagai ummatan wasatan tidak bererti umat yang lemah dan umat yang sering ketinggalan dalam persaingan dengan umat lain yang penuh dedikasi dan kesungguhan dalam segala usahanya di dunia ini. Umat Islam juga tidak bererti umat yang “apabila dipukul pipi kanan, maka ia akan menyerahkan pipi kirinya untuk di pukul lagi”, tetapi umat yang seharusnya mempertahankan tamadun, maruah dan segala sesuatu yang tersebut di dalam ajaran Islam sebagai maqasid al-syariah seperti harta benda, agama, jiwa dan keturunannya.
Malah dalam hal ini, al-Quran mengajar kita supaya mencari kebahagiaan dan kebaikan di dunia dan akhirat, dalam ayat yang menerangkan bahawa terdapat beberapa golongan manusia di atas muka bumi ini dalam konteks mendapatkan kebahagiaan hidupnya, seperti yang terkandung di dalam surah al-Baqarah, ayat 200 yang bermaksud:
“Ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, dan (orang ini) tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat.”
Mereka mendapat kebahagian di dunia dengan usaha mereka yang bersungguh-sungguh, tetapi tidak terdapat kebahagiaan di akhirat nanti, kerana mereka hanya berusaha untuk dunia sahaja.
Ayat 201, surah al-Baqarah pula menyebut begini:
“...dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan (kebahagiaan) di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.”
Dua ayat yang tersebut di atas merangka satu agenda “umat pertengahan” yang sebenarnya, di samping ayat-ayat lain, bahawa contoh kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat yang seimbang dan sepadu itu haruslah dijadikan ukuran bagi semua bentuk dan corak kehidupan umat Islam untuk mengecap kebahagiaan, iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat.
Alhamdulillah, kita di negara ini telah menunjukkan satu contoh yang baik tentang “umat pertengahan” ini, iaitu di dalam segala bidang kehidupan dunia akhirat yang kita usahakan. Sikap dan perilaku kita dalam mengembangkan dan mengamalkan agama juga merupakan amalan yang membina, jauh daripada gejala negatif seperti keganasan dan kekerasan.
Institusi pendidikan agama telah di bawa ke dalam arus perdana pendidikan negara, malah aktiviti keislaman juga lahir dalam bentuk dakwah yang berhikmah dan nasihat, berilmu, dan penuh dengan pengetahuan.
Aktivis agama kita juga lahir dalam badan-badan dan organisasi yang sihat seperti gerakan belia dan pelajar yang masih dapat menjaga tatasusila agama dan komited kepada nilai-nilai etika dan akhlak yang baik. Oleh hal demikian itu, saya rasa, hal ini haruslah kita pelihara dengan baik.
Bagaimanapun, kehadiran unsur-unsur yang tidak sihat seperti yang didedahkan oleh pihak Polis baru-baru ini, iaitu dengan munculnya gerakan yang dilabelkan sebagai gerakan agama, sedangkan pendekatan dan perjuangannya lebih condong kepada gerakan radikal dan keganasan, haruslah difahami dengan sebaik-baiknya, dan dihapuskan gerakan seperti itu, agar budaya dan cara hidup sederhana yang penuh dengan suasana aman damai, yang kita amalkan selama ini di negara kita dapat diteruskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
silalah komen