IKLAN KOMERSIAL

Sabtu, 11 Jun 2011

Wasatiyyah satukan penduduk berbilang kaum di Malaysia


Oleh Nik Salida Shuhaila

2011/06/09

Toleransi, keadilan sosial dalam Islam bina negara harmoni

PERANAN dan pengaruh Islam dalam dunia Melayu sudah lama bertapak di Malaysia sekali gus membawa perubahan besar kepada sosial serta budaya masyarakat yang bermastautin di negara ini. 

Walaupun hakikat ini fakta yang tidak boleh diragukan, tetapi impak terkesan daripada budaya tidak murni kepada budaya beragama yang menekankan konsep wasatiyyah tidak akan disedari sesiapa jika masyarakat tidak diperjelaskan konsep itu serta kaitannya dengan budaya hidup.
Bahkan, pertikaian mengenai kedudukan Islam di negara ini serta peranannya dalam pembinaan bangsa dan negara berpunca daripada pengamalan tidak berasaskan prinsip wasatiyyah. Tindak-tanduk melampaui batas tanpa menekuni wahyu dan sunnah mengancam kestabilan hubungan antara kaum yang sekian lama terjalin dengan baik.
Islam yang tiba di Tanah Melayu seawal tahun 1200 bukan saja membawa satu agama, tetapi juga semangat yang mempengaruhi tasauf dan kalam. Panduan hidup berteraskan wahyu Ilahi dan teladan terpuji Rasulullah SAW menggantikan segala kepercayaan, kebudayaan dan sistem kehidupan yang jahil kepada sistem sosial berasaskan ilmu dan kebenaran. 

Wasatiyyah mencorakkan umat Muhammad SAW supaya seiring perintah agama. Kehadiran Islam di Nusantara melahirkan masyarakat sederhana berteraskan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan berlandaskan kehendak syariah. 

Jelas sekali Islam menyumbang kepada pembangunan positif yang dinikmati penduduk hingga hari ini seperti terangkum dalam firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah, membawa pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka menggunakan pendekatan yang baik. Orang yang sederhana ialah orang berada antara dua pihak, iaitu pihak yang melampau dengan pihak mempermudah-mudahkan sesuatu urusan.” (Surah an-Nahl, ayat 125) 

Kemuncak manifestasi Islam berteraskan konsep wasatiyyah di Malaysia dapat dilihat menerusi kemunculan dan perkembangan tamadun Islam yang gemilang di negara ini termasuk pelaksanaan sistem berteraskan Islam dalam segenap aspek kehidupan. 
Toleransi dan prinsip keadilan sosial yang dipraktikkan di negara ini selaras prinsip ajaran Islam dan berjaya membina masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara harmoni dan hormat menghormati antara satu dengan lain. 
Orang bukan Islam bukan saja dibenarkan mempraktikkan agama mereka, bahkan bebas mengamalkan budaya dan adat resam. 

Lebih dari itu, prinsip wasatiyyah juga boleh dijadikan model transformasi ekonomi serantau seiring pelan dan struktur masyarakat berakidah dan berpaksikan cara hidup saling melengkapi antara satu sama lain. 

Ia menjadi qudwah harus diketengahkan kepada dunia global yang bukan saja membantu menaikkan taraf hidup, juga kualiti intelektual menjana dana mental dan fizikal ke arah kehidupan lebih baik. 

Wasatiyyah juga jelas mampu melahirkan umat terpilih dalam toleransi dan muamalah. Manusia bertolak ansur dan berfikiran jauh ke hadapan berasaskan pertimbangan menyeluruh dan mengutamakan keadilan dalam lanskap lebih luas. 

Pastinya kesederhanaan menjadikan manusia sentiasa positif dalam kehidupan kerana ia adalah teras perpaduan masyarakat pelbagai budaya dan cara hidup. Melalui kesederhanaan juga, fitrah manusia dapat dipenuhi dan dibentuk dengan baik. 

Wasatiiyah boleh menyatukan semua bangsa, malah menjadikan individu Muslim cemerlang di dunia dan akhirat. Tinggal lagi prinsipnya harus menjadi amalan supaya ajaran agama dapat diterjemahkan dalam setiap tindak tanduk sekali gus menjadi tarikan untuk menjadikan Islam sebagai agama. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

silalah komen